Suara muda didengari : SRP

Thursday, March 10, 2011

kerajaan telah mengumumkan satu lagi skim baru iaitu Skim Rumah Pertamaku.Skim nie membantu golongan yang berpendapatan kurang daripada 3ribu sebulan untuk memiliki kediaman sendiri.Sewaktu diumumkan baru - baru nie aku sangat terujaa!.. n aku gi cari kat google..nie laman web dier : http://www.srp.com.my. aku tengok kat kriteria2 yang diberikan macam warganegara malaysia, pembeli rumah pertama, individu yang berumur 35 tahun ke bawah, pendapatan kasar tidak lebih dari 3,000 sebulan dan sah dalam jawatan...bab SAH nie aku raser lemah sket..huhuhu...Harap2 skim nie berlanjutan sampai bila-bila saje. nie contoh rumah yang telah disiapkan.

gambar sekadar hiasan

Nie kate- kate majlis pelancaran SRP n sumber dipetik dari http://www.pmo.gov.my/

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah.

By : DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN A, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR
Date : 08/03/2011
Title : MAJLIS PELANCARAN SKIM RUMAH PERTAMAKU


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan berkat limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di hari yang penuh bermakna ini untuk Majlis Pelancaran Skim Rumah Pertamaku (SRP). Saya amat berbesar hati untuk hadir pada hari ini untuk merasmikan pelancaran SRP ini.

Pengenalan

Para hadirin sekalian,

1. Pada tahun 2010, negara telah berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi 7.2 peratus, melebihi sasaran awal iaitu 7.0 peratus. Bagi tahun 2011 pula, Kerajaan akan berusaha supaya sasaran pertumbuhan sebanyak 6 peratus boleh dicapai. Perlaksanaan projek-projek dibawah inisiatif Economic Transformation Programme (ETP) akan dapat merealisasikan hasrat Kerajaan untuk mencapai kadar pertumbuhan tersebut. Perlaksanaan program dan projek di bawah NKEA akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada graduan yang baru memasuki pasaran kerja, dan meningkatkan pendapatan rakyat. Ini akan membolehkan peningkatan lebih tinggi dalam permintaan domestik seperti rumah kediaman yang mampu dimiliki dan barangan pengguna yang lain. Kesemuanya ini seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

2. Dalam usaha untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kerajaan telah mengenal pasti betapa pentingnya kenaikan kualiti hidup rakyat serta kewujudan persekitaran yang sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi. Ini boleh dicapai dengan adanya perumahan mampu milik untuk rakyat.

3. Salah satu penunjuk sebuah ekonomi yang berkembang ialah pasaran hartanah yang semakin rancak. Ekonomi yang pesat berkembang serta penghijrahan ke bandar dan peningkatan keseluruhan dalam pendapatan boleh guna boleh mengakibatkan peningkatan harga hartanah, terutamanya di kawasan bandar. Peningkatan ini boleh menjangkau sebanyak lebih daripada 30 peratus. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan golongan tertentu, terutamanya mereka yang baru berkerja dan berpendapatan lebih rendah terlepas peluang memiliki rumah sendiri.

Para hadirin sekalian,

4. Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin, kita telah mengambil pendekatan holistik untuk meningkatkan pemilikan rumah di Malaysia serta mempromosikan rangkuman kewangan di kalangan rakyat. Antara langkah-langkah yang pernah diperkenalkan oleh Kerajaan termasuk melaksanakan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diuruskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta beberapa program bantuan perumahan di bawah Jabatan Perumahan Negara. Selain itu, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) telah ditubuhkan pada 2008 untuk menyediakan jaminan kepada bank-bank yang memberi pinjaman kepada golongan yang tidak berpendapatan tetap, seperti petani dan peniaga kecil.

5. Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lepas, saya telah menyatakan rancangan Kerajaan untuk melancarkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM568 juta untuk membina 300 unit di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Rumah Sewa. Satu peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta telah disediakan khususnya untuk membantu pekerja-pekerja estet memiliki rumah di bawah Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah.

6. Sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk memastikan rumah mampu dimiliki oleh rakyat pendapatan rendah, terutamanya mereka di kawasan bandar, Skim Rumah Pertamaku juga telah diumumkan semasa perbentangan Bajet 2011. Skim ini akan memberi kemudahan terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada 3 ribu ringgit sebulan untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Para hadirin sekalian,

7. Hari ini merupakan hari yang penting kerana Kerajaan akan melancarkan Skim Rumah Pertamaku. Skim ini merupakan inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Cagamas Berhad dan institusi-institusi kewangan yang terlibat untuk mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia. Ini juga akan membantu golongan muda di Malaysia untuk memiliki rumah pertama mereka dengan cepat.

8. Di samping itu, skim ini secara tidak langsung dapat memupuk sikap jati diri dan keinginan di kalangan anak muda, serta mencapai satu daripada objektif berterusan Kerajaan iaitu untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia sama ada di bandar atau luar bandar.

Produk

9. Melalui skim ini, individu terutamanya golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada 3 ribu ringgit boleh mendapat pinjaman sebanyak 100 peratus daripada institusi-institusi kewangan terpilih untuk rumah berharga antara 100 ribu ringgit sehingga 220 ribu ringgit dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun. Ini bermakna, Kerajaan, melalui Cagamas, akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut. Permohonan pinjaman boleh dibuat secara langsung di cawangan-cawangan perbankan di seluruh negara mulai hari ini.

10. Sehingga kini, Skim ini berjaya melibatkan penyertaan lebih daripada 20 institusi kewangan termasuk institusi-institusi kewangan Islam. Dengan sukacitanya, saya ingin mempelawa bank-bank yang belum menyertai skim ini supaya melibatkan diri supaya inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat boleh dijayakan dengan sepenuhnya.

11. Diharap skim ini juga akan menggalakkan pihak pemaju supaya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

12. Untuk pengetahuan lebih lanjut, rakyat boleh melawat laman web skim ini di www.srp.com.my.

Penutup

Para hadirin sekalian,

13. Sebagai penutup, izinkan saya mengulangi komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup warga Malaysia dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju. Pelancaran Skim Rumah Pertamaku merupakan salah satu contoh komitmen dan keseriusan kerajaan dalam merealisasikan konsep 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

14. Akhir kata dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Skim Rumah Pertamaku.

Sekian.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

p/s :  Serius cantik kan rumah nie?..i want!i want!..i want!

0 comments: